Selamat Datang Ke Laman Titisan Embun

Ya Allah..tambahkan kepadaku ilmu yang berguna, rezeki yang dilimpahkan dari sumber yang halal...amin

Thursday, August 14, 2008

ketampanan lelaki dalam surah Yusof

Dalam surah Yusuf, hero ceritanya adalah seorang lelaki yang tampan. Ini bermakna, bagi menghasilkan sebuah kisah yang indah, heronya hendaklah lelaki, dan lelaki itu lelaki yang tampan.
Seperti filem dan komik, cerita yang heronya lelaki dibaca baik oleh lelaki mahupun perempuan, manakala apabila heronya perempuan, hanya perempuan yang membacanya.Dalam surah Yusuf, tidak ada langsung maklumat tentang ciri-ciri fizikal ketampanan Nabi Yusuf. Sebagai contoh, pembaca tidak diberitahu apa warna mata, rambut dan kulit Nabi Yusuf.
Allah menerangkan ketampanan Nabi Yusuf menggunakan 2 cara:
(1) Menggunakan dialog watak-watak pembantu.
Apabila Zulaikha mengundang kawan-kawan perempuannya datang menjamu selera, apabila perempuan-perempuan itu ternampak Nabi Yusuf, mereka berkata, "Maha Suci Allah. Ini bukan manusia biasa. Ini malaikat suci yang menjelma."
Dari sini kita dapat membuat kesimpulan, bagi menerangkan ketampanan lelaki, caranya adalah dengan menggunakan ayat-ayat dialog, bukan menggunakan ayat-ayat naratif.
(2) Menggunakan peristiwa sebagai bukti.
Dalam majlis jamuan yang sama, kawan-kawan perempuan Zulaikha telah terpotong jari mereka sendiri apabila mereka terpandang Nabi Yusuf.
Dari sini kita dapat membuat kesimpulan, bagi menerangkan ketampanan lelaki, caranya adalah dengan menceritakan episod yang dapat membuktikan bahawa lelaki itu tampan, bukan dengan menggunakan ayat naratif yang menerangkan ciri-ciri ketampanan lelaki itu.
Contoh ayat naratif:(a) Hamdan seorang yang tampan. (SALAH)(b) Dia membetul-betulkan misainya yang lebat. (SALAH)(c) Rozi jatuh cinta pada Karim yang berdada bidang. (SALAH)
Contoh ayat dialog:
(a) "Kamu jatuh cinta kepada Hamdan sebab dia tampankah?" Safiah bertanya kepada Zaiton. (BETUL)
(b) "Apakah kamu selalu teringat akan misainya yang lebat itu?" tanya Faridah sambil mentertawakan Laili. (BETUL)
(c) "Lupakanlah sahaja Karim yang berdada bidang itu. Dia tidak sesuai dengan kamu," Mariam menasihati Rohani. (BETUL)
Allah jualah yang lebih mengetahui.

No comments: